PORT DICKSON, 3 Ogos 2026 – Alhamdulillah, Maahad Turath Al-Islami sekali lagi berjaya menganjurkan Program Rehlah Tarbawiyyah Kali Ke-9, yang berlangsung di Bayu Beach Resort, Port Dickson bagi pelajar lelaki, manakala pelajar perempuan mengikuti program di Tanjung Bidara Beach Villa, Melaka.
Rehlah Tarbawiyyah merupakan program tahunan yang menghimpunkan para pelajar dan guru-guru dalam suasana yang lebih santai, namun sarat dengan nilai tarbiah. Program ini bertujuan mengeratkan ukhuwah antara guru dan pelajar, membina semangat kebersamaan serta mencipta kenangan yang akan terus terpahat dalam lipatan memori sepanjang menuntut ilmu. Di samping itu, rehlah ini menjadi salah satu inisiatif maahad untuk menyegarkan kembali semangat para pelajar setelah hampir tujuh bulan menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian.
Rombongan bertolak seawal jam 13.00 petang dan tiba di destinasi sekitar jam 15.00 petang. Setibanya di lokasi, para peserta menikmati makan tengah hari sebelum bersama-sama menunaikan solat jamak dan qasar secara berjemaah. Seusai solat, Ketua Program Rehlah Tarbawiyyah menyampaikan taklimat berkaitan atur cara program, peraturan serta aspek keselamatan sepanjang rehlah berlangsung.
Bagi menyemarakkan semangat berpasukan, para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang akan bersaing secara sihat bagi merebut gelaran Juara Rehlah Tarbawiyyah Kali Ke-9. Pelbagai aktiviti tarbiah, riadah dan pertandingan telah disusun sepanjang program selama 3 hari 2 malam ini.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah:
• Menyaksikan keindahan matahari terbenam.
• Bermandi-manda dan berkelah di pantai.
• Majlis BBQ.
• Aktiviti riadah di kolam renang.
• Persembahan Malam Kebudayaan.
• Pertandingan tarik tali.
• Permainan bola beracun.
• Aktiviti “Burung Hantu”.
• Pelbagai sukan rakyat dan permainan berkumpulan.
Alhamdulillah, Program Rehlah Tarbawiyyah Kali Ke-9 telah berlangsung dengan lancar dan penuh kejayaan atas izin Allah SWT. Pihak Maahad Turath Al-Islami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh guru-guru, kakitangan, Ahli Jawatankuasa Rehlah, para pelajar serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini.
Penghargaan yang tidak terhingga turut ditujukan kepada seluruh penyumbang yang telah menghulurkan sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan, tenaga mahupun doa. Keprihatinan dan sokongan yang diberikan amat besar ertinya dalam merealisasikan program yang penuh manfaat ini. Semoga Allah SWT menerima segala amal kebajikan tuan-tuan dan puan-puan serta mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda di dunia dan di akhirat.
Sesungguhnya, rehlah bukan hanya sekadar ruang untuk berehat daripada rutin pembelajaran, bahkan merupakan medan membina ukhuwah, memupuk kepimpinan, menyemai adab serta memperkukuhkan nilai kebersamaan antara guru dan pelajar. Mudah-mudahan segala pengalaman yang dilalui sepanjang program ini menjadi kenangan yang indah, membangkitkan semangat untuk terus menuntut ilmu, dan menjadi bekalan dalam melahirkan generasi pewaris ilmu yang beramal, berakhlak dan istiqamah di jalan Allah SWT.


