Pelajar Maahad Turath Al Islami di Al Azhar Mesir

Khamis – 20 November 2025

Perkembangan Terkini Pelajar Maahad Turath al-Islami di Kaherah, Mesir

Setakat ini, seramai empat orang pelajar Maahad sedang meneruskan pengajian mereka di Al-Azhar al-Syarif, Mesir. Mereka ialah Irfan Rozaidi (Tahun 3, Jurusan Syariah Islamiyyah), Muaz Mohsein (Tahun 2, Jurusan Usuluddin), serta Wan Syatir Khadimi dan Muhammad Zarfan yang baru sahaja memulakan sesi kuliah tahun pertama mereka dalam Jurusan Syariah Islamiyyah.

Di tengah kesibukan menghadiri kuliah rasmi di Jami‘ah, mereka tetap istiqamah menghadiri kelas-kelas talaqqi di sekitar Masjid al-Azhar dan di dalam Masjid al-Azhar sendiri. Ini selaras dengan nasihat para guru dan para senior Maahad yang telah menamatkan pengajian di sana, agar sentiasa aktif dalam talaqqi bagi menambah keluasan ilmu dan memperkukuh pemahaman turath.

Pada hari-hari cuti, mereka juga tidak melepaskan peluang untuk beriadah serta berziarah ke makam-makam para ulama terkemuka dan tempat-tempat bersejarah di sekitar Kaherah, sebagai menghidupkan semangat pencarian ilmu dan mengenang jasa para ilmuwan terdahulu.

Mudah-mudahan Allah mengurniakan ilmu yang bermanfaat kepada mereka, serta menerima segala usaha, penat lelah dan perjalanan mereka dalam menuntut ilmu.