Majlis Tautan Mahabbah dan Konvokesyen Maahad

SHAH ALAM, 09 Mei 2026 – Majlis Tautan Mahabbah dan Konvokesyen Maahad Turath Al-Islami kali ke-10 telah berlangsung dengan penuh kemeriahan, dihadiri oleh lebih 500 tetamu yang terdiri daripada barisan guru, tetamu kehormat, para pelajar, kakitangan maahad, alumni, serta ibu bapa dan ahli keluarga pelajar.

Majlis diserikan dengan lantunan suci bacaan al-Quran oleh Adik Muhammad Najmuddin bin Jefri , pelajar tahun tujuh yang berasal dari Kuala Langat. Turut memeriahkan majlis ialah persembahan nasyid dan qasidah oleh kumpulan Al-Miftah, bacaan Kitab Riyadhus Solihin oleh wakil pelajar banin iaitu Adik Ahmad Faheem Bin Yusnurfadil, serta penyampaian penyelesaian irab oleh Saudari Nurul Falah Bt Azrul .

Ucapan wakil ibubapa pada majlis kali ini telah disampaikan oleh Encik Yusnurfadil Bin Osman, yang berasal dari Semenyih,Selangor.

Pada tahun ini, Maahad turut meraikan kejayaan 12 orang pelajar – terdiri daripada 2 pelajar lelaki dan 10 pelajar perempuan – yang telah menamatkan pengajian mereka selama tujuh tahun, bermula dari tahun 2019 hingga 2025. Kejayaan ini adalah hasil daripada kesabaran, ketekunan dalam menuntut ilmu, serta doa yang tidak pernah putus daripada ibu bapa dan para guru.

Di samping meraikan para graduan, majlis ini juga turut memberi penghargaan kepada barisan guru yang telah mencurahkan tenaga dan masa dalam mendidik para pelajar, kakitangan maahad yang memainkan peranan penting di sebalik tabir, serta pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pengajian mereka.

Semoga keberkatan majlis ini menjadi pemangkin semangat buat para pelajar untuk terus istiqamah dalam menuntut ilmu. Mudah-mudahan ilmu yang diperoleh bukan sahaja dapat diamalkan, tetapi juga disebarkan demi manfaat ummah. Buat para graduan, semoga tamatnya pengajian di maahad ini menjadi titik tolak untuk melangkah lebih jauh dalam dunia keilmuan, dan bukan pengakhiran perjalanan mereka.

Semoga Allah SWT memberkati para guru, seluruh warga maahad, para pelajar, dan segala usaha yang dijalankan.