SHAH ALAM, 4 Mei 2025 – Majlis Tautan Mahabbah dan Konvokesyen Maahad Turath Al-Islami kali ke-9 telah berlangsung dengan penuh kemeriahan, dihadiri oleh lebih 500 tetamu yang terdiri daripada barisan guru, tetamu kehormat, para pelajar, kakitangan maahad, alumni, serta ibu bapa dan ahli keluarga pelajar.
Majlis diserikan dengan lantunan suci bacaan al-Quran oleh Adik Muhammad Yazid bin Adsman, pelajar tahun satu yang berasal dari Sabah, negeri di bawah bayu. Turut memeriahkan majlis ialah persembahan bacaan matan dan qasidah oleh pelajar lelaki, bacaan Kitab Riyadhus Solihin oleh wakil pelajar banin iaitu Adik Abdul Fattah bin Abdol Hadi, serta penyampaian penyelesaian masalah faraid oleh Saudari Nur Afiqah Musfirah binti Imran.
Ucapan utama pada majlis kali ini telah disampaikan oleh YB Tuan Guru Zulkifli bin Ismail Hafizahullah, Ahli Parlimen Jasin merangkap Mudir Pondok Baitul Qurra’, Jasin, Melaka.
Pada tahun ini, Maahad turut meraikan kejayaan 19 orang pelajar – terdiri daripada 8 pelajar lelaki dan 11 pelajar perempuan – yang telah menamatkan pengajian mereka selama tujuh tahun, bermula dari tahun 2018 hingga 2024. Kejayaan ini adalah hasil daripada kesabaran, ketekunan dalam menuntut ilmu, serta doa yang tidak pernah putus daripada ibu bapa dan para guru.
Di samping meraikan para graduan, majlis ini juga turut memberi penghargaan kepada barisan guru yang telah mencurahkan tenaga dan masa dalam mendidik para pelajar, kakitangan maahad yang memainkan peranan penting di sebalik tabir, serta pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pengajian mereka.
Semoga keberkatan majlis ini menjadi pemangkin semangat buat para pelajar untuk terus istiqamah dalam menuntut ilmu. Mudah-mudahan ilmu yang diperoleh bukan sahaja dapat diamalkan, tetapi juga disebarkan demi manfaat ummah. Buat para graduan, semoga tamatnya pengajian di maahad ini menjadi titik tolak untuk melangkah lebih jauh dalam dunia keilmuan, dan bukan pengakhiran perjalanan mereka.
Semoga Allah SWT memberkati para guru, seluruh warga maahad, para pelajar, dan segala usaha yang dijalankan.