Shah Alam, 30 Januari 2026 – Telah berlangsung dengan jayanya Program Daurah Fiqh Puasa pada hari Jumaat, 30 Januari 2026 bertempat di Maahad Turath Al-Islami, Shah Alam, anjuran Maahad Turath Al-Islami.
Program ini disampaikan oleh Al-Faqeh Syeikh Toha Abdul Hamid Hamadi, yang memulakan pengajian kitab dengan perbahasan penting berkaitan Bab Puasa daripada kitab Mukhtasar Latif. Antara topik utama yang dihuraikan ialah masalah ru’yah hilal, syarat sah puasa, syarat wajib puasa, serta perbahasan berkaitan i‘tikaf.
Syeikh Toha Abdul Hamid Hamadi menyampaikan pengajian dengan gaya yang sangat jelas, tersusun dan mendalam, memudahkan para pelajar serta para hadirin memahami isu-isu fiqh puasa dengan baik. Pengajian tersebut turut diterjemahkan secara langsung dengan lancar dan tepat oleh Al-Fadhil Ustaz Sheikh Yamani bin Ayyan, sekali gus memberi manfaat besar kepada para peserta.
Majlis berlangsung selama kira-kira dua jam, dan diakhiri dengan sesi soal jawab bersama Syeikh Toha Abdul Hamid Hamadi, melibatkan soalan daripada para pelajar yang hadir secara fizikal serta para penonton yang mengikuti siaran secara langsung melalui platform Facebook.
Sebagai penutup majlis, pihak Maahad Turath Al-Islami telah menyampaikan cenderahati penghargaan kepada Syeikh Toha Abdul Hamid Hamadi serta Ustaz Sheikh Yamani bin Ayyan sebagai tanda terima kasih atas kesudian dan sumbangan ilmu yang dicurahkan.
Semoga program seumpama ini terus diberkati dan menjadi medan penyebaran ilmu fiqh yang sahih berteraskan turath para ulama.






