DAMSYIK, 2 Oktober – Tiga pelajar lelaki dari Maahad Turath Al Islami telah melangkah ke fasa baharu dalam pengajian mereka apabila berjaya menyambung pelajaran di Universiti Abu Nur, Damsyik, Syria.
Ketiga-tiga pelajar tersebut kini mengikuti pengajian dalam bidang Syariah selama empat tahun, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk mereka mendalami ilmu agama secara komprehensif di bumi para anbiya’.
Selain mengikuti kuliah rasmi universiti, mereka turut berpeluang bertalaqqi al-Quran bersanad serta mempelajari pelbagai kitab turath secara langsung bersama para ulama terkenal di Syria, sekali gus memperkukuh kefahaman mereka dalam disiplin ilmu Islam.
Usaha ini bukan sahaja mengharumkan nama Maahad Turath Al Islami, malah diharap dapat melahirkan generasi ilmuwan yang kompeten, berakhlak dan mampu berkhidmat kepada masyarakat serta ummah di masa hadapan.







