Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam bersama Maahad Turath Al-Islami

Maahad Turath Al-Islami Tuan Rumah Program Jelajah Halal: Eksplorasi Ilmu & Amal

SHAH ALAM, 16 Jun 2025 – Maahad Turath Al-Islami Shah Alam berbesar hati menerima kunjungan daripada pelajar Semester 5, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Halal (IC220 5P2), Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, bagi menjayakan Program Jelajah Halal: Eksplorasi Ilmu & Amal, yang merupakan inisiatif di bawah Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM).

Program sehari ini memberi tumpuan kepada pendedahan awal berkenaan konsep, kepentingan, dan kaedah sertu menurut perspektif Islam, khususnya kepada pelajar dan juga pendedahan berkenaan bahan-bahan sertu yang telah dimodifikasikan seperti sabun tanah liat dan debu tanah liat. Pada masa yang sama, ia berfungsi sebagai medan latihan praktikal buat para mahasiswa untuk menyampaikan ilmu serta berinteraksi secara langsung bersama komuniti.

Program bermula seawal jam 8.00 pagi dengan ketibaan 36 orang mahasiswa UiTM ke perkarangan Maahad, disambut oleh para pelajar dan guru. Majlis perasmian telah berlangsung pada jam 10.00 pagi dan diserikan dengan kehadiran tetamu jemputan iaitu:

Cik Rohadatul ‘Aisy binti Sarbini, Pengarah Program

Dr. Nur Farhani Zarmani, Pensyarah Kanan, Pengurusan Industri Halal, ACIS UiTM Shah Alam

Dr. Mohd Dasuqhi Mohd Sirajuddin, Ketua Pusat Pengajian, Pengurusan Industri Halal, ACIS UiTM Shah Alam

Ustaz Mohammad Nazmi Karim, Mudir Maahad Turath Al-Islami

Antara pengisian menarik yang dijalankan sepanjang program termasuklah sesi perkongsian ilmiah bertajuk “Sertu vs Samak”, latihan praktikal sertu secara berkumpulan, serta slot Explorace yang penuh interaksi dan cabaran minda. Aktiviti dalam slot ini merangkumi Blind Quiz, Crosswords, Break the Code, Mix and Match, dan Act it Out, yang berjaya mencipta suasana pembelajaran yang ceria dan menyeronokkan.

Menurut pihak penganjur, program ini bukan sahaja memberi impak positif kepada pelajar dalam memahami konsep halal secara kreatif, tetapi turut memperkasa kemahiran insaniah mahasiswa dalam aspek komunikasi, penyampaian, serta kerja berpasukan.

Program ini turut mendapat bimbingan dan sokongan penuh daripada Dr. Nur Farhani Zarmani selaku Penasihat Program serta Dr. Mohd. Dasuqhi Mohd. Sirajuddin sebagai Ketua Pusat Pengajian, ACIS UiTM Shah Alam.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah berlangsung pada jam 4.00 petang, diikuti sesi fotografi dan bersurai pada jam 4.30 petang. Pihak Maahad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak UiTM Shah Alam atas kepercayaan dan pemilihan institusi ini sebagai lokasi program, serta berharap agar kerjasama sebegini dapat diteruskan dalam usaha memperkasakan kefahaman ilmu halal dalam kalangan generasi muda secara holistik dan menyeluruh.